Anda selalu dengar rungutan rakan-rakan atau orang di sekeliling anda tentang akaun Facebook atau Twitter mereka di godam (hack) atau diubah pengisiannya. Berikut adalah antara langkah mudah untuk mengelakkan akaun anda dari di godam;
1) Jangan gunakan komputer di luar seperti cyber cafe atau PC rakan pejabat anda. Pastikan anda gunakan PC atau laptop anda sendiri sepenuhnya.
2) Jika anda menggunakan komputer selain komputer sendiri, sila LOGOUT sebelum menutup aplikasi Facebook.
3) Buang semua history atau cache dalam pelayar web (web browser) yang anda gunakan. Untuk buang, cari dalam menu setting pelayar web masing-masing seperti Firefox atau Chrome.
4) Gunakan kata laluan (password) yang berbeza antara akaun media sosial anda yang lain seperti Twitter & e-mel. Anda juga digalakkan menukar kata laluan dengan kerap.
5) Pasang antivirus dan spyware yang sesuai pada komputer anda.
6) Jangan buat musuh dengan sesiapa. Kenapa perlu orang lain hack akaun anda? :)
Jika anda suka artikel ini, sila kongsikan ke media sosial seperti dibawah;
Pengguna media sosial masa kini tidak dapat lari dari bermain permainan (games) tidak kira melalui telefon pintar mahupun komputer. Games merupakan salah satu aplikasi yang sangat popular selain berkongsi maklumat, video melalui blog, Facebook atau Twitter. Hari ini Rovio telah melancarkan permainan kegemaran ramai, Angry Birds yang boleh diboleh dimainkan terus melalui Facebook. Angry Birds adalah permainan yang selalunya dimainkan di telefon pintar ataupun tablet dengan sentuhan skrin menggunakan jari. Memandangkan Facebook merupakan platform media sosial yang paling ramai pengguna, Angry Bird telah melebarkan sayapnya dan terbang ke destinasi yang lebih luas.
Sedikit fakta mengenai Angry Bird : Di bangunkan oleh Rovio Mobile dari Finnish Computer Game Developer. Angry Bird mula dilancarkan untuk aplikasi iOS Apple pada Disember 2009. Sejak dari itu, lebih 12 juta jualan telah dicatatkan melalui App Store. Ia merupakan permainan yang paling laris sekali jualannya (bukan aplikasi percuma) yang kemudiannya juga boleh dimainkan dalam aplikasi skrin sentuh lain seperti Android dan Blackberry. Tahun demi tahun, permainan Angry Bird terus popular dengan pelbagai versi telah dibangunkan begitu juga dengan peringkat (level) yang semakin banyak. Tidak cukup dengan itu, Angry Bird telah menjadi rebutan produk-produk seperti beg & anak patung.
Permainan Angry Bird melalui Facebook ini telah dilancarkan di Jakarta hari ini dengan sedikit perbezaan dari aplikasi yang dimainkan di telefon pintar. Ia dapat dimainkan bersama dengan rakan Facebook anda yang lain serta bersaing mata dengan mereka. Burung-burung dalam Angry Birds Facebook pula mempunyai periangkat-peringkat kuasa yang lebih menarik untuk dimainkan. Anda boleh mencuba permainan ini di Facebook dengan klik pautan DISINI. Anda juga boleh melihat video pelancaran dengan menonton video dibawah. Pelancaran Angry Bird terbaru pasti akan memeriahkan lagi era media sosial. Namun harus diingat, skop fungsi media sosial sangat luas dan bukan sekadar untuk permainan sahaja.
*p/s - Minggu ini juga merupakan Minggu Media Sosial Malaysia yang berlangsung di Putra World Trade Center dari 13 hingga 17 Februari ini. Banyak aktiviti dan penyampaian maklumat mengenai media sosial di sana. Penulis pun sedang berkira-kira untuk ke sana. Maklumat lanjut boleh klik DISINI.
Google memang terkenal dengan enjin pencari, e-mel gmail, blogger dan sebagainya. Google mempunyai pelbagai produk lain yang sering digunakan setiap hari seperti Google Maps. Anda mungkin pernah dengar mengenai Google Wave atau Google Buzz. Pernah mencubanya? Terkini muncul pula aplikasi baru iaitu Google Plus (atau Google +). Apakah itu Google +? Adakah ia berfungsi sebagai satu lagi media sosial baru seperti Facebook & Twitter? Masih ramai pengguna yang tidak mengenalinya dan tidak menggunakan Google +. Apakah keistimewaan yang ada dalam Google +? Adakah ia akan menjadi satu media sosial sehebat Facebook & Twitter? Mari kita buat sedikit kajian.
Mengikut wikipedia : Google+ integrates social services such as Google Profiles and Google Buzz, and introduces new services identified as Circles, Hangouts and Sparks.Google+ is available as a website and on mobile devices. Sources such as The New York Times have declared it Google's biggest attempt to rival the social networkFacebook,which has over 800 million users.Google+ is considered the company's fourth foray into social networking, following Google Buzz (launched 2010, retired in 2011), Google Friend Connect (launched 2008, to be retired by March 2012) and orkut (launched in 2004, now operated entirely by subsidiary Google Brazil).
Mengikut kajian penulis sendiri setakat ini, Google + tidak banyak berbeza dengan Facebook. Namun terdapat beberapa fungsi dalam Google + yang menarik seperti Circle. Circle membenarkan pengguna menguruskan senarai rakan mereka dengan membahagikan mengikut kategori seperti keluarga, rakan & following. Walaupun Facebook juga boleh membuat demikian namun Circle sangat mudah untuk dikendalikan. Bayangkan jika anda mempunyai 2000 rakan dalam Facebook, anda perlu membuka seorang demi seorang untuk setkan samada ia keluarga, rakan atau kategori lain. Dengan Google +, anda hanya perlu drag & drop sahaja ke dalam Circle yang berkenaan.
Jika pengguna ingin menaip sesuatu status berkenaan keluarga, mereka hanya perlu memilih Circle yang sesuai seperti Family. Pengguna juga boleh memilih lebih dari 1 Circle untuk satu status. Oleh itu, jika contohnya anda ingin mengatakan sesuatu mengenai nenek anda, rakan kolej atau rakan kerja anda tidak perlulah membaca status tersebut. Ia sangat mudah dan anda dapat mengawal perkongsian anda agar tidak terlalu luas. Fungi-fungsi lain yang ada dalam Google + adalah Hangout iaitu penggunakan boleh bersembang menggunakan video secara berkumpulan. Instant upload pula membenarkan pengguna berkongsi gambar terus dari telefon pintar secara automatik.
Masih banyak lagi fungsi dalam Google + yang masih belum dikaji sepenuhnya oleh penulis. Tetapi penulis dapat rasakan yang Google + mampu menyaingi Facebook jika google terus memikirkan apa fungsi yang pengguna inginkan dalam media sosial mereka. Google + juga sesuai untuk mereka yang menggunakan telefon pintar ataupun tablet kerana semakin menarik untuk berkongsi maklumat. Penulis juga menggalakkan anda mencuba Google + sekarang dan rasakan sendiri bagaimana ia berfungsi. Jangan lupa untuk jemput (invite) penulis pula! :) Artikel akan datang, penulis akan menerangkan lebih lanjut bagaimana Google + sangat membantu dalam enjin pencarian. Tunggu...
* Jika anda suka artikel ini jangan lupa untuk kongsikan ke media sosial lain seperti butang-butang dibawah.
Seperti yang dijanjikan penulis akan membuat statistik dan rumusan mengenai blog "Rakan Media Sosial Anda" (RMSA) ini (yang dulunya dipanggil Mencipta Memori) untuk menilai sejauh mana pencapaian sepanjang tahun 2011. Setelah 4 tahun berada dalam industri blogging ini, blog RMSA ini telah mengalami pelbagai fasa dan yang terbaru mengubah konsep agar pengisian lebih fokus dan unik. Alhamdulillah, blog ini masih mampu bertahan dan tidak menjadi blog yang "bersawang" tanpa sebarang maklumat. Berikut merupakan ringkasan statistik yang telah diperolehi;
1) Jumlah keseluruhan posting : 45
2) Jumlah keseluruhan pengikut : 56
3) Bulan paling banyak posting : Januari, 8
4) Posting paling banyak ulasan : Medal Memori Maya 2010, 7
5) Ranking blog dalam Alexa.com : 5,432,946
6) Kata carian paling popular : Nike Ardilla, 19.07%
7) Paling ramai pelawat dalam 1 bulan : Disember, 2423
Rumusannya, penulis agak kecewa kerana tidak dapat menulis banyak posting tahun lepas kerana palbagai faktor seperti tahun pertama bekerja sendiri. Namun bilangan keseluruhan pelawat meningkat dari 10,132 tahun 2010 ke 12,563 tahun 2011. Jumlah pengikut dan pautan luar juga terus meningkat. Ini diharapkan akan berterusan pada tahun 2012 dan seterusnya. Ranking alexa.com juga telah diperbaiki dari berpuluh-puluh juta hingga mencapai 5,432,946 pada hujung tahun lepas. Peningkatan ini walaupun sedikit namun masih menunjukkan tanda positif untuk terus maju.
Bagaimana penulis memperolehi maklumat-maklumat ini? Selain membuat kiraan sendiri, ada beberapa cara untuk mendapatkan maklumat statistik blog atau laman web anda. Antaranya;
1) Memasukkan URL blog anda ke dalam alexa.com yang akan memberikan statistik seperti jumlah pelawat dan jumlah pautan anda yang dipautkan oleh laman web/ blog orang lain.
2) Menggunakan aplikasi statistik percuma dari laman web lain. Anda boleh cari laman web tersebut seperti histats atau statcounter. Penulis juga pernah menulis mengenai laman web statistik ini dalam posting DISINI.
3) Jika anda menggunakan blogger, anda boleh melihat statistik blog anda dalam ruangan STATS pada palang control panel blogger anda.
4) Menggunakan Google Analytic yang perlu dipasang pada lamanweb atau blog anda. Maklumat terperinci mengenai google analytic akan kami berikan pada posting-posting akan datang.
Statistik sangat penting untuk melihat sejauh mana pencapaian dan kekuatan blog atau laman web anda. Melalui statistik juga, anda boleh membuat pelbagai perancangan terutama jika blog anda dalam bidang perniagaan. Sekurang-kurangnya anda tidak rasa 'syok sendiri' apabila melihat ramai pelawat membuka laman anda mencari maklumat. Teruskan berblogging dan meriahkan lagi arena media sosial yang semakin berkembang ini. Harapan penulis agar pembaca memperolehi sesuatu melalui artikel yang diberikan seterusnya menyokong usaha untuk menyampaikan maklumat.
*Jika anda suka artikel atau laman ini, apa salahnya untuk klik pada butang-butang yang disediakan untuk berkongsi maklumat :)
Seperti yang anda dapat lihat disebelah kiri laman blog ini terdapat beberapa butang yang dituliskan nombor dalam kotak-kotak kecil. Butang-butang tersebut adalah bertujuan memudahkan pembaca untuk kongsi, suka, tweet dan apa saja pengkongsian dengan hanya klik satu butang. Nombor-nombor tersebut menunjukkan bilangan berapa kali laman anda dikongsikan. Ini merupakan cara terbaru bagi memudahkan pembaca berkongsi maklumat memandangan penggunaan media sosial seperti Facebook &Twitter semakin meluas. Berikut merupakan cara-cara untuk meletakkannya;
4) Klik PASTE dalam ruangan besar yang disediakan.
5) SAVE dan lihat bagaimana butang tersebut terapung-apung dalam laman anda.
Anda boleh mengubah kedudukan apungan butang tersebut dengan cuba mengubah pada bahagian #pageshare {position:fixed; bottom:15%; left:10px; float:left; border: 1px solid black;. Ubah sahaja perkataan left kepada right atau nombor-nombor disitu untuk cuba membuat kelainan. Jika anda menggunakan wordpress, anda juga boleh mencari plugin yang sesuai untuk menjadikan butang ini. Kod HTML diatas juga boleh diletakkan dalam kod HTML laman web anda selain blogger & wordpress.
Berbeza dengan butang seperti gambar diatas, ia adalah untuk berkongsi ARTIKEL sahaja didalam blogger dan bukannya laman web atau blog secara keseluruhan. Butang ini ada disediakan secara default didalam blogger namun terdapat kekurangan iaitu butang LIKE facebook tidak disediakan. Jika sebelum ini anda perlu pilih URL apa-apa laman web, copy & paste dalam status media sosial anda tetapi kini tidak perlu lagi. Butang ini ternyata memudahkan anda sebagai pembaca untuk berkongsi pautan.
*Jika anda suka artikel atau laman ini, apa salahnya untuk klik pada butang-butang yang disediakan. Mudah sahaja bukan? :)
Sempena tahun baru ini, penulis telah merangka konsep baru untuk blog ini dimana penulis akan lebih memfokuskan maklumat-maklumat berkenaan media sosial seperti facebook, twitter, blog & youtube. Maklumat yang akan dipaparkan adalah dalam bentuk artikel, perkongsian, tips, gambar dan video berkenaan media sosial. Ia akan menumpukan tajuk-tajuk seperti perniagaan & pemasaran bagi mereka yang ingin atau telah menjadi usahawan internet. Penukaran konsep ini adalah bertujuan memantapkan blog ini agar lebih fokus menyampaikan maklumat kepada para pembaca.
Ini bermakna tiada lagi posting-posting peribadi atau selain kategori yang dinyatakan diatas akan diletakkan disini. Namun posting-posting yang lepas tidak akan dihapuskan dan akan terus dijadikan bahan rujukan & arkib blog ini. Apa-apa perkongsian peribadi atau perkara lain akan penulis kongsikan di Facebook, Twitter dan Youtube sahaja. Begitu juga dengan hasil kerja fotografi akan difokuskan pada platform laman web, blog & media sosial NahamPhoto agar tidak bercampur dengan pengisian blog ini. Penulis juga merancang membangunkan galeri online bagi meletakkan gambar-gambar sahaja.
Pengstrukturan yang dibuat adalah bagi memudahkan tugas harian penulis dan ideanya datang hasil dari menyertai banyak bengkel pemasaran & perniagaan internet sebelum ini. Semoga dengan pertukaran konsep ini akan dapat memberikan lebih fokus kepada pembaca mengenai media sosial yang semakin luas digunakan sekarang. Insya Allah penulis akan mempersembahkan perkongsian yang berguna serta input-input yang penulis tahu berdasarkan pengalaman dan kajian penulis sendiri. Semoga pembaca terus menyokong penulis dan seterusnya memperolehi kebaikan dari blog ini. Terima kasih.
Tahun 2011 telah meninggalkan penulis dengan pelbagai kenangan pahit dan manis. Masa berlalu dengan pantas sekali sehingga rasa tidak cukup tangan untuk melakukan pelbagai tugas. Walaupun tugas itu adalah yang telah dirancang sendiri oleh penulis namun terasa tidak mencapai target jika penulis tidak dapat menyelesaikannya. Pelbagai cabaran dan dugaan telah dihadapi membuatkan penulis lebih matang mengharungi kehidupan sebagai seorang usahawan yang lebih banyak bekerja dirumah.
Seperti yang diketahui, tahun 2011 adalah tahun pertama penulis bekerja sendiri (bukan makan gaji). Oleh itu tidak banyak perkara yang penulis dapat jangkakan dalam melakukan tugas seharian seperti soal kewangan & psikologi. Masalah-masalah yang dihadapi tahun 2011 akan cuba diperbaiki supaya tahun ini penulis dapat melakukan yang lebih baik. Alhamdulillah, berkat kesabaran penulis dapat juga mengharungi pelbagai cabaran walaupun ada diantaranya sangat sukar tetapi pasti ada jalan penyelesaiannya.
Jika tahun lepas penulis berazam untuk memberikan lebih lagi dalam blog Mencipta Memori ini, malangnya ia tidak berjaya. Penulis semakin jarang mengemaskini atau menambah posting didalam blog. Ini kerana penulis perlu melaksanakan tugas yang mempunyai keutamaan atau yang lebih penting. Namun kika mempunyai kesempatan, penulis pasti juga dapat memberikan sesuatu maklumat terkini di dalam blog. Walaupun sedikit tetapi setiap bulan pasti ada posting kerana penulis telah menetapkan jadual untuk melakukannya.
Jika tahun lepas hanya ada tapak, tahun ni sudah ada bangunan. Alhamdulillah
Penulis dapat dirumuskan yang tahun 2011 bukan lah tahun terbaik dalam aspek kerja & kehidupan. Tetapi persediaan yang dibuat seperti menyertai pelbagai seminar, kursus atau bengkel pada tahun 2011 akan dijadikan 'senjata' untuk mengharungi pelbagai rintangan pada tahun ini. Ternyata bekerja sendiri sangat sukar dan memerlukan kekuatan mental serta fizikal namun bagi penulis, bekerja makan gaji masih lagi bukan pilihan. Mempunyai perniagaan sendiri lebih memuaskan walaupun perlu bekerja lebih masa.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, penulis akan cuba memberikan statistik tentang beberapa perkara seperti apa usaha dan pencapaian penulis sepanjang tahun 2011. Penulis juga akan memaparkan statistik blog Mencipta Memori ini dan membuat pengumuman untuk anugerah Medal Memori Maya untuk tahun ke-4 dalam posting seterusnya. Ia sebagai tanda terima kasih penulis kepada semua pembaca blog ini.
Bercakap mengenai azam 2012 pula, penulis ingin terus bekerja dengan cara yang lebih sistematik, mengikut formula yang telah diajar oleh mentor dan seterusnya melaksanakannya dengan baik. Dari segi kewangan pula, penulis mahu tahun ini merupakan tahun untuk membebaskan diri dari segala hutang dan membuat simpanan apa yang termampu. Semoga Allah memberkati usaha penulis dan mencapai kejayaan dunia akhirat.
Setelah menyertai beberapa siri seminar, tour dan sesi berkenaan perniagaan internet bersama Irfan Khairi sepanjang tahun ini, penulis mengambil langkah seterusnya dengan menyertai Workshop Jutawan Internet yang dianjurkan oleh Irfan Khairi Sdn. Bhd. Bengkel kali ini lebih fokus dengan hanya dihadkan seramai 9 orang sahaja dan menumpukan strategi menjalankan perniagaan internet dengan lebih baik mengikut pengalaman Irfan Khairi sendiri. Bermula dengan membaca buku tulisan beliau, penulis terus berminat menceburi bidang usahawan internet ini dengan menyertai bengkel yang lebih intensif.
Bengkel ini telah dijalankan di IKSB Mutiara Damansara dari jam 9 paging hingga 6 petang yang penuh dengan pengisian berguna serta input penting cara bagaimana memulakan perniagaan internet. Semua peserta yang hadir sangat teruja untuk menjalankan perniagaan masing-masing dengan pelbagai persoalan serta perbincangan dilakukan sebagai persediaan merancang strategi yang betul. Irfan Khairi telah memberikan segala pengalaman lebih 10 tahun beliau dalam menjalankan perniagaan internet dan dipersembahkan dalam bentuk yang lebih tersusun dalam nota beliau untuk diikuti oleh semua peserta.
Rumusannya, penulis sangat berpuashati dengan bengkel ini dimana banyak idea dan strategi telah muncul untuk terus bersaing menjadi usahawan internet yang berjaya. Langkah seterusnya adalah melaksanakan semua perancangan yang telah disusun itu agar ia tidak menjadi sia-sia. Semoga tahun 2012 ini akan memberi makna kepada penulis terutamanya untuk meningkatkan lagi perniagaan NahamPhoto, LoveThatShawl dan juga bisnes-bisnes yang lain. Diharap pelaburan ilmu yang dikeluarkan ini akan mengubah cara kerja dan hasil yang lebih baik serta dibantu dengan persekitaran yang lebih positif. Mudah-mudahan.
Penulis bukanlah seorang yang meminati drama ataupun filem. Apatah lagi kaki tengok wayang bila keluar cerita-cerita yang dikatakan hebat. Cuma sekali sekala penulis ikut juga rakan-rakan yang mengajak menonton di pawagam. Antara filem yang penulis suka adalah filem aksi dan filem-filem yang berasaskan kartun-kartun dizaman kanak-kanak seperti Transformers. Dirumah pula, penulis bukan juga seorang yang terlalu obses menonton televisyen. Sudah tentunya penulis banyak menghabiskan masa mengadap komputer dan kerja.
Sekarang ini mungkin kecoh dengan filem Ombak Rindu dengan dimana-mana sahaja memperkatakan tentang filem ini tak kira di status Facebook atau blog. Penulis tidak langsung tergerak hati untuk menonton bukan kerana tidak menyokong industri filem tempatan tetapi tidak berapa minat dengan kisah cinta yang dipaparkan. Pada satu hari penulis secara tidak sengaja menonton satu filem dari Thailand (Astro Box Office) dan tiba-tiba penulis rasa ada sesuatu yang istimewa dengan jalan cerita & emosi yang cuba disampaikan.
Filem yang penulis maksudkan adalah "Hello Stranger" yang dikeluarkan hujung tahun 2010. Ia mengisahkan 2 orang warga Thai (seorang lelaki & seorang perempuan) yang melancong berasingan telah bertemu di Korea. Mereka telah bertemu dan melancong bersama secara tidak sengaja dalam beberapa hari. Dalam masa yang singkat itu mereka bersama telah banyak melalui saat-saat yang unik sehinggakan ada satu perasaan cinta walaupun masing-masing sudah mempunyai pasangan di Thailand.
Filem ini banyak menciptakan babak-babak romantik yang unik dan digarap dengan baik untuk memainkan emosi penonton. Walaupun filem ini bukan filem aksi namun penulis merasakan ada sesuatu yang istimewa yang menjadikan ia satu cerita yang berkualiti. Selain babak-babak yang unik, skrip-skrip yang digunakan pula sangat membangkitkan pelbagai emosi seperti lucu, sedih & cinta. Satu lagi yang unik dalam cerita ini adalah watak-watak utama tidak tahu nama masing-masing malah penonton sendiri pun tidak mengetahuinya.
Jadi apakah kesudahan filem ini? Anda boleh cari di dalam google atau di kedai-kedai DVD. Walaupun penulis masih tidak menonton filem Ombak Rindu tetapi penulis berani mengatakan filem ini adalah antara filem terbaik Thailand. Namun itu hanya pendapat penulis dan lain orang mungkin lain citarasanya. Anda juga boleh baca pendapat-pendapat penonton yang lain seperti di http://alicechensworld.blogspot.com/2011/11/download-thai-movie-hello-stranger.html. Hmm...penulis tak pandai sangat mengulas filem... :)
Tahun 50-an disebuah pekan kecil dalam satu daerah negeri Johor, seorang lelaki bangkit dan gigih membuat persiapan mencari rezeki. Lelaki separuh usia ini selalu dipanggil dengan panggilan Pak Ali. Pak Ali mempunyai isteri dan seorang anak lelaki. Beliau juga sudah mempunyai beberapa orang cucu yang tinggal bersama dengan beliau. Begitulah sedikit latar belakang mengenai seorang insan yang bernama Pak Ali.
Setiap pagi Pak Ali akan bersiap untuk keluar berniaga. Apa yang diniagakan? Bubur kacang, itulah perniagaan Pak Ali. Dengan usia yang sudah memasuki usia emas, Pak Ali masih kuat mengayuh basikal untuk berniaga disekitar pekan. Sudah lama Pak Ali berniaga bubur kacang sehingga orang-orang tempatan sudah biasa dan mengenali beliau. Begitulah gigihnya Pak Ali menyara keluarga dengan berniaga cara sendiri.
Pulang dari berniaga, Pak Ali berehat di teratak kecilnya untuk menghilangkan penat. Kepenatan berniaga hilang sebentar apabila disambut dengan hilai tawa cucu-cucunya. Itulah permata hati Pak Ali yang ada dalam hidupnya hasil perkahwinan anak tunggal beliau. Apabila pulang berniaga, cucu-cucunya akan mengira hasil jualan bubur kacang. Kadang-kala dia memperolehi 2 ringgit satu hari, kadang-kadang 4 ringgit dan paling banyak pun 7 ringgit sehari.
Keesokkan paginya Pak Ali akan keluar lagi untuk mencari rezeki. Basikal beliau akan membawa satu kotak hijau dibelakangnya berisi bubur kacang. Basikal dikayuh disana-sini. Jika ada rezeki, pelanggan akan memanggil beliau dan membeli bubur kacang. Keenakkannya akan membuatkan pelanggan akan membeli lagi pada masa-masa akan datang. Sangat murni usaha yang dilakukan beliau memberi makanan dan kegembiraan kepada pelanggan.
Berkat usaha dari muda lagi berniaga, akhirnya membawa kepada hasil yang baik. Pak Ali dapat membeli sebidang tanah untuk dijadikan harta. Walaupun tidak seluas mana, dengan tanah tersebut beliau mendirikan rumah untuk isteri, anak dan cucu-cucu beliau berteduh. Siapa sangka dengan pendapat yang sedikit setiap hari dapat menjadi banyak. Memang betul pepatah melayu mengatakan, ”sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit”.
Setelah meninggal dunia, Pak Ali telah mewarisi tanah tersebut kepada anak dan cucu-cucunya. Sehingga kini, cucu cicit serta generasi yang lebih muda dapat tinggal ditanah pusaka yang bukannya milik orang lain. Seharusnya generasi baru dari keturunan Pak Ali harus bersyukur kerana berkat usaha beliau, mereka dapat hidup bahagia sekarang tanpa perlu menumpang. Semoga apa yang Pak Ali usahakan mendapat keberkatan dari Allah.
p/s – Pekan kecil yang dimaksudkan adalah Endau, Johor. Tanah yang dimaksudkan adalah di Lorong Satu, Endau Johor yang mana keluarga & penulis dirikan pejabat NahamPhoto sekarang. Pak Ali pula adalah moyang kepada penulis iaitu Ali bin Awang. Cerita ini diolah dari cerita-cerita cucu beliau iaitu bapa penulis sendiri dan juga bapa saudara yang lain. Semoga roh beliau dirahmati Allah. Al-Fatihah